Isnin, Mac 21, 2011

Dilema Wanita: Memilih Si Dia?


Pembinaan sebuah keluarga bukan berlaku selepas perkahwinan.
Sebenarnya pembinaan itu bermula semenjak pemilihan pasangan ~


Antara Emas Dan Budi

Kalau diimbas kembali zaman nenek moyang kita dulu, kebanyakan orang sangat memandang pada budi bahasa. Lelaki yang menghormati orang tua, baik penampilan, sopan kelakuan akan menjadi pilihan wanita.

Bukan bermakna orang-orang dulu tidak memandang kepada harta benda, tetapi agaknya jarang sekali ada orang yang banyak harta ketika itu. Kalau menunggu orang kaya masuk meminang, alamatnya anak dara akan mendara sampai ke tua.

Realitinya, kemajuan masyarakat telah mengubah sistem nilai itu. Semakin tinggi tahap ekonomi, semakin cenderung pula masyarakat untuk memandang ke atas. Walaupun budi bahasa masih diterima, tetapi kalau ada yang berharta lebih senang dijadikan pilihan.

Isnin, Mac 14, 2011

Pintu Langit Sentiasa Terbuka

Nikmat atau kepayahan mungkin dirasa sekali-sekala, tetapi doa kena selalu ~

“Berdoalah kepadaKu, pasti aku perkenankan untukmu” (Ghafir: 60)

Ini adalah gambaran hubungan yang akrab antara si pengharap dengan Yang Maha Memenuhi harapan. Apabila hubungan antara kedua-duanya akrab, maka segala harapan akan menjadi kenyataan denga izinNya.

Si pengharap adalah hamba manakala yang diharapkannya adalah Tuhannya. Sewajarnya seorang hamba yang mengharap itu menjadi hamba dalam erti kata sebenarnya seperti yang dituntut Tuhannya.

Tentu sangat memalukan jika dia hanya mengharapkan Tuhannya memenuhi segala harapannya, namun dalam masa yang sama dia tidak pula memenuhi ‘harapan’ Tuhannya kepada dirinya sendiri.

Sabtu, Mac 12, 2011

Pahlawan Neraka


Berhati-hatilah dalam berjuang.


Qozman. Dia adalah seorang pahlawan yang pernah dikagumi. Dalam pertempuran menentang kaum musyrik, dia berjuang dengan cekap dan berani. Setiap musuh yang datang menerpa dapat ditewaskannya.

Apabila pertempuran terhenti, pejuang-pejuang Islam kembali ke markas mereka bersama-sama Rasulullah s.a.w. Mereka berbincang antara satu sama lain. Mereka saling bercerita kejadian-kejadian yang berlaku sepanjang pertempuran dengan pihak musuh. Salah seorang daripada mereka bercerita mengenai Qozman.

“Tidak ada antara kita yang lebih hebat daripada Qozman,” demikian kata seorang daripada mereka.

Mendengar kata-kata itu, Rasulullah pun memberi respon, “Sebenarnya dia adalah penghuni neraka.”

Jawapan Rasulullah itu menarik perhatian mereka. Bagaimana mungkin seorang pahlawan sehebat itu akan masuk neraka?

Aktsam El Khuza’ie, salah seorang pejuang menawarkan diri untuk memerhatikan Qozman demi membuktikan kebenaran kata-kata Rasulullah itu.

Khamis, Mac 10, 2011

Gadis Itu Dan Imannya



Saya ingin membawa kisah tentang seorang gadis yang tidak diketahui namanya, namun sejarah mengenali kemurnian dan ketinggian iman gadis itu daripada doa Rasulullah s.a.w untuknya.

Kisah ini juga berkaitan dengan seorang lelaki Ansar yang kurang baik rupa parasnya, rendah tubuhnya, Julaibib namanya. Julaibib ini sukar mendapatkan jodoh apalagi latar belakangnya yang biasa-biasa sahaja. Tiada seorang pun yang sudi menerimanya sebagai suami mahupun menantu. Sehinggalah perkara ini diketahui Rasulullah s.a.w. Baginda pun berusaha mencarikan jodoh untuk Julaibib.

Baginda berkata kepada seorang sahabat, “Wahai Fulan, kahwinkan aku dengan  anak gadismu.”

“Baik dengan senang hati” jawab sahabat itu.

“Tetapi pinangan ini bukan untukku,” kata baginda lagi.

“Untuk siapa,” tanya sahabat itu seakan terkejut kerana pada mulanya dia beranggapan baginda yang menginginkan anak gadisnya.

“Julaibib,” jawab baginda.

“Ya Rasulullah, biarlah aku berbincang dengan ibunya dulu,” jawab sahabat itu.

Sahabat itu segera pulang menemui isterinya. Dalam hatinya barangkali timbul persoalan bagaimana jika isterinya menolak atau menerima. Menolak pinangan Nabi tentulah tidak baik, tetapi menerimannya juga berat.

Isnin, Februari 14, 2011

Cinta Pada KekasihNya

Kenalilah Rasulullah s.a.w dengan menghayati sirah baginda.

Alhamdulillah hamdan katsiron thoyyiban mubarokan fih kamaa yuhibbu Robbuna wa yardho, wa asyhadu alla ilaha illallah wahdahu laa syarika lah wa asyhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa rosuluh. Allahumma sholli ‘ala nabiyyina Muhammad wa ‘ala alihi wa shohbihi wa sallam.

Saban tahun kita menyambut hari kelahiran Rasulullah s.a.w pada 12 Rabiul awal. Walaupun isu ini adalah perkara yang diperselisihkan dalam kalangan ulama termasuklah tarikh sebenar kelahiran nabi tercinta, namun saya tidak ingin mempersoalkannya di sini kerana saya sendiri tidak mempunyai kredibiliti untuk tujuan itu.

Saya lebih selesa memperkatakan hubungan kita dengan Rasulullah. Sebagai umatnya, bertanyalah siapa dan di manakah kedudukan Rasulullah di hati? Lidah boleh sahaja mengatakan, “Rasulullah junjungan kita.” Tetapi benarkah begitu? Benar atau tidak sebenarnya terzahir melalui tindak-tinduk dan perbuatan masing-masing.

Ahad, Februari 13, 2011

Hari Kekasih: Kasih Yang Tidak Bernilai


Cinta Yang Sebenarnya Membawa Ke Syurga.
Apabila Nafsu Disangka Cinta

Amalan meraikan sambutan Hari Kekasih (Valentine’s Day) setiap 14 Februari jelas bercanggah dengan syara’. Apa lagi hari itu mempunyai unsur kepercayaan agama Kristian dan menjurus pula kepada kerosakan akhlak yang parah.

Islam menilai cinta sebagai sesuatu yang agung dan suci. Namun, cinta dinilai begitu murah oleh banyak orang hari ini. Mudah saja mereka menggunakan istilah cinta untuk menampakkan yang haram seperti O.K. Inilah akibatnya apabila nafsu sudah bermaharajalela. Nafsu itu disangka cinta!


Sisi Gelap

Hari Kekasih seperti mana perayaan-perayaan lain turut mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Saya berpendapat pada hari ini sudah ramai yang mengetahuinya cuma sebahagiannya sengaja mengambil sikap acuh tidak acuh atau buat-buat tidak tahu.

Sabtu, Februari 12, 2011

Kualiti Yang Mendahului Kuantiti

Kualiti perlu diutamakan ~
Kisah Nabi Yusya’ a.s

Para panglima berusaha mengumpulkan bala tentera sebanyak yang mereka mampu untuk menghadapi musuh. Mereka mengira bahawa sebab kemenangan di medan perang adalah kuantiti. Lain halnya dengan nabiyullah Yusya' a.s. Allah Taala membuka tanah suci melalui tangannya setelah nabi Musa a.s wafat.

Yusya' tidak begitu mementingkan jumlah besar dalam menghadapi musuh. Dia lebih mementingkan kualiti pasukan perangnya. Oleh sebab itu, dia begitu teliti memilih demi memastikan pasukannya tidak dianggotai mereka yang hatinya tertambat oleh urusan dunia.


Imam Bukhari meriwayatkan kisah ini dalam kitab Fardhul Khumus, bab sabda nabi s.a.w, “Dihalalkan harta rampasan perang untuk kamu.”, 6/220, no. 3124 manakala Imam Muslim pula meriwayatkan dalam kitabul Jihad Was Siyar, bab penghalalan harta rampasan perang, 3/1366, no. 1747.

Khamis, Februari 10, 2011

Kepayahan Di Dunia

Kepayahan yang dirasa perlu disertai kesabaran sebagai penawarnya.

Kehidupan di dunia dipenuhi kepayahan dan kelelahan.

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah.” (al-Balad: 4)

Kepayahan ini terlihat dalam segala urusan. Makanan yang disuap ke mulut tidak diperoleh kecuali dengan kelelahan. Seteguk minuman juga demikian, bahkan pakaian dan tempat tinggal. Lebih daripada semua itu, penyakit-penyakit yang menimpa manusia, musuh-musuh dan teman-teman mendatangkan masalah baginya. Gangguan pun boleh datang daripada anak-anak dan keluarganya sendiri.

Saya suka membawa kisah tentang bantahan nabi Adam a.s terhadap dakwaan nabi Musa a.s. Kisah ini diriwayatkan dalam  hadis Bukhari daripada Abu Hurairah dalam kitab Ahadisil Anbiya’, bab Musa wafat, 6/440, no. 3407. Hadis ini turut diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab Qadar, bab debat antara Adam dan Musa, 4/2042, no. 2652.


Khamis, Januari 27, 2011

Kembalikan Palestin!


Bersatulah kita untuk kebebasan Palestin
Isu Umat, Persoalan Iman
Isu palestin adalah isu umat, bukan sekadar isu bangsa atau negara. Malangnya, isu ini sekejap timbul sekejap tenggelam. Seolah-olah melambangkan keadaan umat yang sedang terumbang-ambing.
Suatu ketika, isu Palestin menjadi hangat di tanah air kita sebelum ia dilupakan kembali. Media mencanang isu ini hampir setiap hari. Apabila ditanya pendapat orang awam, ramai sekali berkata, “Kita perlu ambil iktibar dan bersyukur kerana negara kita aman.”
Saya kurang berpuas hati dengan respon begitu. Saya ingin sekali bertanya kembali, “Apakah mereka sedar isu Palestin kini menjadi petunjuk kegagalan umat yang sangat dahsyat?”
Ia adalah kegagalan kita mempertahankan maruah agama. Kegagalan kita bersatu atas dasar ukhwah Islamiyyah dan segala macam lagi kegagalan. Pendek kata isu Palestin kini adalah tentang kegagalan kita.

Ahad, Januari 16, 2011

Menilai Kembali Cinta


Jika benar cinta, syurga adalah destinasinya.
Penangan Cinta?


Apabila berbicara tentang cinta, maka akan segera terbayang hubungan pasangan kekasih yang rindu merindui, mengambil berat antara satu sama lain, saling menyayangi dan bermacam-macam lagi perasaan yang menyeronokan. 


Semua itu dirasakan terlalu indah sehingga mengakibatkan terabai banyak perkara, terbuai dengan angan-angan, malah tidak lagi berpijak di bumi yang nyata. Hakikat ini memang berlaku dek kerana bahana cinta yang tidak terkawal.
Dalam sesetengah kes, kita melihat orang yang dikatakan dilamun cinta hidup dalam dunia yang dicipta sendiri tanpa mempedulikan orang lain. Dalam dunia itu hanya ada dia dan pasangannya. 


Dunia itu dipenuhi khayalan-khayalan mempesonakan lantas membuat penghuninya terleka sama sekali. Kelekaan itu lazimnya datang bersama kekacauan jiwa, rasa tidak tenteram atau dalam istilah popular dikatakan makan tak kenyang, mandi tak basah dan tidur tak lena. 


Adakah benar itu cinta?
Fenomena ini dapat dilihat di mana-mana sahaja terutama di tempat-tempat yang mudah berlaku pergaulan ala-ala bebas antara si teruna dengan si dara seperti universiti, kolej dan termasuklah sekolah. 


Saya sendiri mempunyai agak ramai teman yang ikut tenggelam dalam fenomena ini. Sejak di bangku sekolah sampailah ke universiti budaya yang cukup popular disebut ‘couple’ begitu berleluasa.

Isnin, Januari 03, 2011

Siapa Yang Digelar Muslim?



Antara perkara utama yang perlu diketahui oleh setiap muslim ialah siapakah yang digelar Muslim? Apakah erti seorang yang mengaku muslim?


Jika seseorang manusia itu tidak mengetahui apa erti kemanusiaan dan tidak dapat membezakan antara manusia dan haiwan, maka dengan mudah dia akan melakukan perbuatan-perbuatan yang bersifat kehaiwanan dan tidak tahu untuk menghayati sifat kemanusiaannya.

Begitu juga halnya jika seorang muslim yang tidak mengenali pendiriannya sebagai seorang Islam dan tidak mengetahui perbezaan antara dia dan kafir, maka dia akan bertindak sebagai orang kafir dan juga tidak akan merasakan keagungannya sebagai seorang muslim.

Oleh demikian, setiap muslim harus diajar dan dididik serta diasuh tentang pendirian  dan kedudukan mereka sebagai seorang muslim. Mereka perlu tahu akan perubahan kedudukan mereka setelah mereka menjadi muslim. Mereka perlu tahu akan tanggungjawab mereka sebagai seorang muslim. Mereka patut  kenal akan batas-batasan yang akan menjamin dan mengekalkan diri mereka sebagai muslim agar mereka tidak melewatinya. Mereka patut tahu bahawa dengan melewati batas-batas tersebut, mereka akan bersara daripada menjadi seorang muslim walaupun mulut mereka berlagak sebagai seorang muslim.