Saya ingin membawa kisah tentang seorang gadis yang tidak diketahui namanya, namun sejarah mengenali kemurnian dan ketinggian iman gadis itu daripada doa Rasulullah s.a.w untuknya.
Kisah ini juga berkaitan dengan seorang lelaki Ansar yang kurang baik rupa parasnya, rendah tubuhnya, Julaibib namanya. Julaibib ini sukar mendapatkan jodoh apalagi latar belakangnya yang biasa-biasa sahaja. Tiada seorang pun yang sudi menerimanya sebagai suami mahupun menantu. Sehinggalah perkara ini diketahui Rasulullah s.a.w. Baginda pun berusaha mencarikan jodoh untuk Julaibib.
Baginda berkata kepada seorang sahabat, “Wahai Fulan, kahwinkan aku dengan anak gadismu.”
“Baik dengan senang hati” jawab sahabat itu.
“Tetapi pinangan ini bukan untukku,” kata baginda lagi.
“Untuk siapa,” tanya sahabat itu seakan terkejut kerana pada mulanya dia beranggapan baginda yang menginginkan anak gadisnya.
“Julaibib,” jawab baginda.
“Ya Rasulullah, biarlah aku berbincang dengan ibunya dulu,” jawab sahabat itu.
Sahabat itu segera pulang menemui isterinya. Dalam hatinya barangkali timbul persoalan bagaimana jika isterinya menolak atau menerima. Menolak pinangan Nabi tentulah tidak baik, tetapi menerimannya juga berat.
“Nabi meminang anak gadis kita,” kata sahabat itu kepada isterinya sebaik sahaja sampai di rumah.
“Baik dengan senang hati,” jawab si isteri.
“Tetapi bukan untuk baginda,” kata sahabat itu.
“Untuk siapa?,” tanya si isteri.
“Julaibib!” jawab sahabat itu.
“Untuk Julaibib? Demi Allah, aku tidak akan mengahwinkan anakku dengannya!” isterinya menjawab dengan tegas sekali.
Melihat ketegasan itu, maka sahabat tersebut ingin kembali menemui Rasulullah s.a.w, tetapi sebelum sempat berbuat demikian, anak gadisnya keluar. Sebenarnya anaknya itu telah mendengar perbualan ayah dan ibunya tadi.
“Adakah ayah dan ibu menolak perintah Rasulullah?” anak itu bertanya kepada mereka berdua.
“Maklumkan kepada Rasulullah, saya menerima pinangan untuk Julaibib,” kata-kata itu akhirnya mendorong ayahnya.
Sahabat tersebut pun datang menemui Rasulullah dan berkata,”Pinangan itu diterima.”
Akhirnya, Rasulullah s.a.w mengahwinkan Julaibib dengan gadis itu. Mereka selamat diijab qabulkan. Rasulullah mendoakan gadis itu dengan doa, ‘Ya Allah, limpahkanlah keberkatanMu ke atas gadis ini dengan sepenuhnya dan janganlah Engkau membiarkan hidupnya dalam susah-payah.”
Saya ingin bertanya, “Adakah sesuatu yang lain lebih membahagiakan selain mendapat doa sedemikian daripada Rasulullah?”
Julaibib sebenarnya seorang pahlawan yang hebat. Beliau akhirnya gugur sebagai syahid dalam peperangan bersama Nabi dan para sahabat. Gadis itu dan suaminya mendapat penghargaan Rasulullah s.a.w iaitu si suami kerana keberaniaannya dan si isteri kerana imannya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan