![]() |
| Berhati-hatilah dalam berjuang. |
Qozman. Dia adalah seorang pahlawan yang pernah dikagumi. Dalam pertempuran menentang kaum musyrik, dia berjuang dengan cekap dan berani. Setiap musuh yang datang menerpa dapat ditewaskannya.
Apabila pertempuran terhenti, pejuang-pejuang Islam kembali ke markas mereka bersama-sama Rasulullah s.a.w. Mereka berbincang antara satu sama lain. Mereka saling bercerita kejadian-kejadian yang berlaku sepanjang pertempuran dengan pihak musuh. Salah seorang daripada mereka bercerita mengenai Qozman.
“Tidak ada antara kita yang lebih hebat daripada Qozman,” demikian kata seorang daripada mereka.
Mendengar kata-kata itu, Rasulullah pun memberi respon, “Sebenarnya dia adalah penghuni neraka.”
Jawapan Rasulullah itu menarik perhatian mereka. Bagaimana mungkin seorang pahlawan sehebat itu akan masuk neraka?
Aktsam El Khuza’ie, salah seorang pejuang menawarkan diri untuk memerhatikan Qozman demi membuktikan kebenaran kata-kata Rasulullah itu.
Bertempur..
Keesokkan hari, pertempuran kembali bermula. Para pejuang keluar ke medan pertempuran termasuklah Qozman yang diperhatikan oleh Aktsam. Pertempuran berlangsung begitu sengit, namun Aktsam tetap bersama-sama dengan Qozman di mana pun dia bertempur.
Akhirnya, Qozman terkena libasan pedang musuh dan mendapat luka yang parah. Dia mengeram kesakitan. Tiba-tiba, Qozman mengangkat pedangnya dan diacukan pada dadanya sendiri.
Tanpa berfikir panjang, dadanya ditusuk dengan pedang itu. Dia membunuh diri dengan pedangnya sendiri! Kejadian itu berlaku di depan mata Aktsam. Dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, Aktsam mendengar Qozman berkata,
“Demi Allah, aku berperang kerana menjaga kehormatan kota Madinah supaya jangan dihancurkan oleh Quraisy. Aku berperang kerana membela kehormatan kaumku.”
Aktsam terkesima. Dia mula memahami kata-kata Rasulullah semalam. Setelah perang terhenti, Aktsam segera menemui Rasulullah.
“Aku bersaksi engkau adalah rasul Allah,” Aktsam memulakan bicara.
“Ada apa?” tanya Rasulullah.
“Qozman, dia benar-benar akan menjadi penghuni neraka,” jawab Aktsam.
Orang-orang yang berada di sekitar tertarik dan mula berkumpul untuk mendengar apa yang sudah terjadi. Lalu Aktsam pun menceritakan semua kejadian yang disaksikannya bermula beliau mengikuti Qozman sehinggalah dia membunuh diri.
Nasihat
Setelah itu, Rasulullah tampil lalu memberikan peringatan,
“Seseorang yang beramal seperti amalan penghuni syurga pada penglihatan orang ramai, sebenarnya dia adalah penghuni neraka. Begitulah juga seseorang yang kelihatan melakukan amalan penghuni neraka, sebenarnya dia adalah penghuni syurga.”
Demikianlah Rasulullah memperingatkan umat. Qozman seorang yang berani dan wajar dipuji kerana keberaniannya. Sayangnya, keberaniaannya tidak didasari niat yang ikhlas kerana Allah Taala. Ikhlas itu adalah tanda kesucian hati. Maka, jangan sesekali sombong dan bangga dengan amalan kerana semuanya di tangan Allah Taala.
Berhati-hatilah dalam berjuang.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan