Isnin, Mac 21, 2011

Dilema Wanita: Memilih Si Dia?


Pembinaan sebuah keluarga bukan berlaku selepas perkahwinan.
Sebenarnya pembinaan itu bermula semenjak pemilihan pasangan ~


Antara Emas Dan Budi

Kalau diimbas kembali zaman nenek moyang kita dulu, kebanyakan orang sangat memandang pada budi bahasa. Lelaki yang menghormati orang tua, baik penampilan, sopan kelakuan akan menjadi pilihan wanita.

Bukan bermakna orang-orang dulu tidak memandang kepada harta benda, tetapi agaknya jarang sekali ada orang yang banyak harta ketika itu. Kalau menunggu orang kaya masuk meminang, alamatnya anak dara akan mendara sampai ke tua.

Realitinya, kemajuan masyarakat telah mengubah sistem nilai itu. Semakin tinggi tahap ekonomi, semakin cenderung pula masyarakat untuk memandang ke atas. Walaupun budi bahasa masih diterima, tetapi kalau ada yang berharta lebih senang dijadikan pilihan.


Nasib Si Teruna

Masa terus berlalu, orang pun semakin suka kebendaan, anak teruna hari ini mesti belajar menerima hakikat ini. Walaupun tinggi budi bahasa, jika poket kosong ada baiknya jangan cuba-cuba masuk meminang. Sebab antara soalan yang akan ditanya kepada rombongan meminang adalah, “Apa kerja si kumbang yang seekor itu?”

Baik budi pekerti, molek tutur bahasa, tetapi emas tidak ada walau sebesar biji saga, maka lebih baik si kumbang terbang jauh, jangan harap untuk menghisap madu bunga di taman, apalagi bunga di taman itu adalah bunga kesayangan.

Antara merak kayangan dengan gagak di rimba, tentulah lebih ramai akan memilih sang merak. Kalau ada sepuluh orang, barangkali sembilan atau semuanya akan memilih merak. Apa boleh buat, budi memang penting tetapi rata-rata seperti bersetuju duit lebih penting.

Kita berbincang daripada sudut pandang masyarakat umum. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak dara, si ibu biasa berpesan supaya berhati-hati memilih teman, pilih yang terbaik,  jangan pula tersalah pilih. Maksud yang tersurat ialah jangan berkawan dengan kutu jalanan, kaki lepak di kaki lima atau di siber kafe.

Maksud  tersirat pula ialah pilih teman yang berduit, yang ada kereta, yang bergaji besar atau pendek kata ada masa depan. Pilihan ibu adalah untuk kebahagiaan anaknya. Demikian alasan yang selalu diberikan orang perempuan apabila meneriman teruna berduit dan menolak teruna papa kedana.

Kalau teman lelaki anak orang kaya, melepak tidak tentu hala pun tidak mengapa. Kalau teman lelaki anak orang berada, ajak keluar hingga larut malam pun kira okey, dengan pesanan ‘asalkan pandai membawa diri’.

Kebanyakan orang mengandaikan berkahwin dengan orang yang berduit akan bahagia. Sebab, bagi mereka kebahagian itu adalah rumah besar, kereta besar, kolam renang besar dan serba-serbi besar.

Namun, benarkah apa yang digambarkan oleh kebanyakan orang itu akan menjadi kenyataan setelah berkahwin? Benarkah menjadi isteri kepada orang yang berduit akan menjamin kebahagiaan?

Hakikatnya, duit memang perlu. Tetapi, duit tidak dapat membeli semua. Duit bertimbun seperti bukit sekalipun tetap bukan jaminan kebahagiaan kerana ada perkara dan nilai-nilai tertentu yang tidak mungkin dibeli dengan duit. Apa itu?

Duit boleh membeli rumah mewah, kereta mewah, tetapi duit belum tentu boleh membeli cinta yang benar. Betul, emas permata mencantikkan tubuh badan, tetapi kilauannya belum tentu menenangkan hati.

Dunia tidak ada yang sempurna. Sesuatu tidak lepas daripada kelebihan dan kelemahan. Si gadis dulunya berpakaian sopan tidak kira di mana, mungkin bertukar sebaliknya setelah bergelar isteri orang berada. Lebih mendukacitakan ada yang hilang nilai-nilai ketimuran dan lebih parah melempar terus hukum-hukum Islam sebagai cara hidup. Ini adalah realiti, tetapi realiti ini tidak menafikan wujudnya lelaki kaya yang baik.

Sekarang kita berbincang daripada sudut pandang yang sepatutnya.

Pertama: Baik Pegangan agama

Ini adalah ciri pertama yang perlu diteliti. Pastikan si dia beragama Islam. Jika tidak, jemputlah dia menjadi muslim. Jika sudah muslim, perhatikan pula tahap keislamannya. Tahap yang diingini adalah muslim yang berilmu, beriman dan beramal soleh, tetapi bukan bermaksud dia mesti seorang ustaz atau lulusan agama.

Dia hendaklah seorang yang mempunyai minat kepada Islam, berusaha untuk mendalaminya, rajin mengerjakan kebaikan dan menjauhi perkara dosa. Ini penting kerana suami dipertanggungjawabkan untuk memelihara diri dan rumah tangganya daripada api neraka.

Si suami tidak akan menjadi baik jika dia sendiri tidak mempuyai pegangan agama yang baik. Baik seseorang itu perlu dinilai melalui kaca mata syariat bukan pendapat manusia semata-mata.

Kedua: Hubungan Dengan Keluarga

Lelaki yang baik sudah pasti juga seorang anak yang taat kepada ibu bapa. Tanggungjawab terhadap ibu bapa mesti diutamakan sekalipun dia sudah berumah tangga. Dia tidak akan membantah tanpa ada alasan yang dibenarkan agama. Jadi, cubalah perhatikan sikapnya terhadap ibu bapanya itu.

Ketiga: Kepimpinan

Ciri ini membantu suami mentadbir rumah tangga dengan baik. Suami adalah pemimpin kepada keluarga. Dia perlu bertanggungjawab atas orang-orang yang berada dalam pimpinannya.

Keempat: Kewangan

Suami mesti menunaikan hak nafkah anak isteri. Ini adalah kewajipan suami sekalipun isteri ada duit sendiri. Tetapi bukan bermakna suami perlu kaya. Tidak ada maknanya kaya jika kedekut. Apa yang penting dia mampu memberi nafkah sesuai dengan apa yang termampu.

Kelima: Akhlak

Akhlak menjadi cermin kebaikan hati. Cubalah perhatikan akhlak calon suami kepada orang lain. Jangan hanya melihat kebaikannnya pada kamu. Sudah pasti hanya kebaikan sahaja yang cuba ditonjol. Biasanya keburukan akan disembunyikan daripada penglihatan mata kamu.

Sekarang mulalah menilai si dia melalui sudut pandang yang sepatutnya (jika sudah bersedia). Jangan lupa berdoa dan buat solat istikharah. Seorang hamba hanya mampu menilai apa yang termampu. Semoga Dia menunjukkan siapa yang sepatutnya menjadi pilihan hati. Kepada si teruna, letakkan diri kamu dalam sudut pandang yang sepatutnya itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan