Antara perkara utama yang perlu diketahui oleh setiap muslim ialah siapakah yang digelar Muslim? Apakah erti seorang yang mengaku muslim?
Jika seseorang manusia itu tidak mengetahui apa erti kemanusiaan dan tidak dapat membezakan antara manusia dan haiwan, maka dengan mudah dia akan melakukan perbuatan-perbuatan yang bersifat kehaiwanan dan tidak tahu untuk menghayati sifat kemanusiaannya.
Begitu juga halnya jika seorang muslim yang tidak mengenali pendiriannya sebagai seorang Islam dan tidak mengetahui perbezaan antara dia dan kafir, maka dia akan bertindak sebagai orang kafir dan juga tidak akan merasakan keagungannya sebagai seorang muslim.
Oleh demikian, setiap muslim harus diajar dan dididik serta diasuh tentang pendirian dan kedudukan mereka sebagai seorang muslim. Mereka perlu tahu akan perubahan kedudukan mereka setelah mereka menjadi muslim. Mereka perlu tahu akan tanggungjawab mereka sebagai seorang muslim. Mereka patut kenal akan batas-batasan yang akan menjamin dan mengekalkan diri mereka sebagai muslim agar mereka tidak melewatinya. Mereka patut tahu bahawa dengan melewati batas-batas tersebut, mereka akan bersara daripada menjadi seorang muslim walaupun mulut mereka berlagak sebagai seorang muslim.
Erti Islam
Erti Islam ialah ketaatan dan rasa tanggungjawab terhadap Allah Taala. Menyerah diri mereka kepada Allah Taala. Mengorbankan kebebasan diri untuk Allah Taala.
Islam ialah menyerah diri kita kepada Pemerintahan dan Kerajaan serta Kekuasaan Allah Taala. Seseorang yang menyerah semua urusan kehidupannya kepada peraturan Allah Taala, maka dia adalah seorang muslim. Seseorang yang mengatur urusan hidupnya mengikut kehendak sendiri atau mengikut kehendak orang lain, maka dia adalah bukan muslim.
Penyerahan urusan hidup kita mengikut peraturan Allah Taala bererti menerima panduan yang diberikan oleh Allah Taala melalui kitabNya dan RasulNya dan tiada langsung secebis sikap penentangan terhadap panduan ini. Penting sekali bagi kita untuk menyelesaikan segala masalah hidup kita ini dengan berpandukan kitab suci al Quran dan as Sunnah an Nabawiyyah.
Seseorang yang mengutamakan nasihat-nasihat dari Allah Taala dan membelakangkan pendapat-pendapat daripada pemikirannya sendiri, maka dia adalah muslim. Seseorang yang merujuk semua perkara atau hal kepada al Quran dan hadith dan mencegah dirinya dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh kedua-duanya, maka dia adalah muslim.
Dapat difahami dengan ringkas bahawa seseorang yang melayakkan dirinya dalam golongan muslim apabila dia telah mempu menyerahkan keseluruhan dirinya kepada Allah Taala. Bagi sesiapa yang menolak panduan-panduan al Quran dan Sunnah, maka jelaslah mereka ini bukan Muslim.
Bagi mereka yang mengutamakan pendapat dan pemikiran mereka untuk mengatur seluruh hidup mereka dengan membelakangkan panduan al Quran dan Sunnah maka mereka juga bukan Muslim, begitu juga halnya mereka yang mengutamakan amalan nenek moyang mereka, mereka juga bukan muslim. Bagi mereka yang mengatur hidup mereka yang dunia perkatakan dan bukan apa yang al Quran dan as Sunnah tetapkan, maka mereka juga bukan muslim.
Bagi mereka yang mengetahui akan panduan dan ajaran al Quran dan as Sunnah tetapi mereka masih boleh berkata, "Ia tidak dapat diterima oleh pemikiranku, oleh itu aku menolaknya." atau "Nenek moyangku bertindak menurut cara lain, oleh itu aku tidak akan menurut panduannya atau amalan dunia bertentangan amalannya lantaran aku akan mengamal cara yang dunia mahu." Maka mereka yang berkata sedemikian ialah munafik (pembohong atau pendusta), jika mereka mengaku mereka adalah seorang muslim.
Tanggungjawab Seorang Muslim
Apabila seseorang itu melafazkan kalimah La Ilaha Illallah, Muhammadur Rasulullah itu bermakna dia telah menerima hanya undang-undang dan peraturan Allah Taala dan Allah Taala itu Penaung dan Pemerintah baginya. Ini juga bererti dia mempunyai satu keyakinan yang mengaku benar dan betul apa yang al Quran dan as Sunnah katakan benar dan betul.
Apabila dia telah mengaku menjadi muslim maka bererti dia telah mengorbankan kebesarannya demi Allah Taala. Ini juga telah memansuhkan haknya untuk berkata : “Pendapat saya ialah ini.., dunia mengamalkan yang ini.., adat keluarga saya ialah ini.., orang itu menasihatkan saya berbuat ini..” dan sebagainya.
Dia tidak boleh memberikan pendapat sedemikian apabila berhadapan dengan wahyu Allah Taala dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Terima sahaja apa-apa yang berlandaskan al Quran dan as sunnah dan lemparkanlah apa sahaja yang bertentangan dengan kedua-dua nya tanpa mempedulikan pendapat-pendapat yang lain. Tugasnya ialah untuk menghakimkan menurut apa yang dikehendaki oleh al Quran dan as Sunnah.
Sesiapapun tidak dapat memaksa seseorang yang tidak muslim menjadi seorang muslim tanpa kerelaan hatinya. Dia bebas untuk memilik mana-mana agama yang disukainya dan memanggil dirinya dengan sebarang gelaran atau nama yang digemarinya. Akan tetapi apabila seseorang itu memanggil dirinya muslim, maka dia mestilah faham bahawa dia kekal sebagai seorang Muslim selagi dia di dalamnya.
Sesiapa yang berada di dalam lingkungan batasan-batasan tersebut adalah muslim dan sesiapa yang terkeluar darinya akan dikira tersingkir daripada Islam. Setelah dia disingkirkan, dia masih mengaku Muslim, maka dia telah menipu dirinya sendiri dan orang lain serta dunia seluruhnya.
Waallahua'lam.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan