Selasa, Disember 28, 2010

Kembali Kepada Islam Sebenar



Perkembangan Yang Menggelirukan Umat

Suatu perkembangan yang menggelirukan umat Islam ialah menularnya fahaman sekular dalam masyarakat Islam. Pengaruh sekularisme ke atas negara-negara Islam dikatakan bermula daripada abad ke 18M hinggalah ke abad ini.


Suatu contoh yang jelas pada zaman moden ini ialah apa yang telah berlaku kepada Daulah 'Othmaniyyah Turki iaitu diadakan pembaharuan undang-undang dengan memasukkan undang-undang yang bukan daripada al-Quran dan as-Sunnah. Undang-undang ini datangnya daripada ‘code’ orang-orang barat semenjak Zaman Renaissance lagi. Bencana ini telah menjayakan sekularisasi. Pengaruh tersebut semakin lama semakin menyeluruh memasuki semua bidang hidup hingga menye­babkan soal-soal kehidupan harian terpisah daripada dasar-dasar kerohanian Islam. Unsur barat itu diterima dengan alasan menja­lankan pemodenan, pembangunan serta kemajuan.


Di Tanah Melayu, ketika zaman penjajahan British, sekularisasi dalam bidang pentadbiran mulai berlaku dalam abad 19M dengan termeterinya Perjanjian Pangkor (1874).


Sekularisasi terus berjalan hingga ke abad ini. Meskipun terdapat beberapa perubahan namun sekularisasi semakin menebal hinggakan Islam itu disempitkan menjadi amalan peribadi bukan lagi menjadi sistem pengatur kehidupan ini.


Perkembangan ini sangat membahayakan umat Islam yang memegang amanah Allah Taala untuk menegakkan dan  melaksanakan kehidupan Islam serta nilai-nilainya berdasarkan tauhid.

Pendewaan Nilai-nilai Barat



Sebahagian masyarakat Islam kini mendewakan idea-idea barat buatan manusia. Hal ini amat membimbangkan kerana dikhuatiri mereka akan termasuk ke dalam golongan yang disifatkan dalam firman Allah Taala, 


“Mereka menjadikan orang-orang alimnya, dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain Allah, dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam; padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tidak ada Tuhan selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan." (Surah At Taubah:31)


Mujahid Sa'id Hawwa telah memberikan penjelasan  dalam kitabnya, Jundu Allah Thaqafatan Wa Akhlaqan, bahawa Imam Tarmizi meri­wayatkan bahawa 'Adi Bin Hatim at-Ta'i datang berjumpa Rasulullah saw sedang baginda membaca ayat tersebut. 'Adi berkata kepada Rasulullah saw, 


"Sesungguhnya Ahli-ahli kitab itu tidak pernah menyembah pendita-pendita mereka," Maka Rasulullah saw berkata kepada 'Adi, "Ya! Sesungguhnya mereka mengharamkan ke atas ahli Kitab sesuatu yang halal serta menghalalkan sesuatu yang haram dan mereka (Ahli Kitab) mematuhinya, maka itulah bentuk penyemba­han kepada mereka (pendeta-pendeta) tersebut."


Sa'id Hawwa menjelaskan lagi bahawa jika dilihat kepada realiti masyarakat Islam kini ternyata bahawa mereka melaksanakan hukum-hukum selain daripada hukum Allah Taala.


Dalam kalangan orang ramai terdapat pelbagai sikap dan pandangan. Ada yang berterus terang mengajak kepada perlaksanaan hukum lain selain hukum Allah Taala. Ada yang bertindak sedemikian secara bersembunyi. Ada yang berpendapat bahawa hukum-hukum Islam itu tidak sesuai untuk dilaksanakan. Ada yang berpuas hati dengan sistem kufur yang berjalan hingga jika diajak untuk merubahnya maka dia enggan. Ada yang mempersendakan dan mengejek apabila diajak kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Tidak kurang juga yang ada menyatakan bahawa kerja-kerja untuk melaksanakan hukum-hukum Islam itu telah ketinggalan zaman serta tidak bertamadun lagi. Sikap-sikap sedemikian amat merbahaya serta dibimbangkan akan termasuk ke dalam golongan yang difirmankan oleh Allah Taala


"Tidakkah kamu melihat mereka yang menyangka mereka itu beriman dengan apa yang ditanzilkan kepada engkau (Muhammad) dan apa yang telah ditanzilkan sebelum engkau, mereka mahu berhukum kepada Toghut (sistem selain Islam) sedangkan mereka diperintahkan menolak Taghut, dan syaitan itu mahu menyesatkan mereka sesesat-sesatnya." (Surah an-Nisa':60)


Kejahilan Masyarakat Tentang Hakikat Islam    


Menurut Asy-Syahid Dr. Abdul Qadir 'Audah dalam kitabnya, Al-Islam Wa Audha'una as-Siyasiyyah, bahawa semua orang Islam di dunia ini mengaku beragama Islam dan kebanyakan mereka berbangga dengan nama tersebut. Tetapi dukacita sekali kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat Islam yang sebenarnya. Islam tidak ada hubungan dengan hati mereka meskipun ada hubungan dengan tutur kata mereka.


Kejahilan dengan Islam telah membawa mereka jauh daripada hukum-hukum Islam. Mereka menolak hukum-hakamnya menyebabkan berlaku keruntuhan umat Islam itu sendiri.


Sebenarnya Islam adalah satu sistem hidup pilihan Allah Taala.


“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang diberi Al Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barang siapa yang kafir  terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisabNya." (Surah ali ‘Imran:19)

Allah Taala sama sekali tidak menerima sistem hidup yang lain daripada sistem hidup Islam.


"Sesiapa yang mencari selain daripada  al-Islam sebagai Din (cara hidup), maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak terdiri daripada golongan orang yang rugi."(Surah Ali 'Imran:85)

"Maka (Zat yang demikian) itulah Allah Tuhan kamu yang sebenarnya, maka tidak ada sesudah kebenaran itu, melainkan kesesatan. Maka  bagaimanakah  kamu dipalingkan (dari kebenaran)?" (Surah Yunus:32)

Allah Taala juga tidak mengutuskan seseorang rasulNya melainkan dengan kebenaran dan al-Kitab.


“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah  Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang(orang-orang yang tidak bersalah) , kerena (membela) orang-orang yang khianat." (Surah An Nisaa’:105)


"Dialah yang mengutuskan RasulNya (dengan membawa)  pertunjuk (al Quran)  dan dengan Din yang benar untuk dimenangkan Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai ." (Surah at-Taubah:33)


Jika demikian sifat Islam, maka mengapa masih terdapat ramai yang masih mencari-cari sistem yang lain daripada sistem Islam? Se­sungguhnya mereka yang menolak sistem Islam yang merupakan jalan menuju Allah Taala, menolak al-Quran dan menukar gantinya dengan ideologi-ideologi yang lain, maka mereka sebenarnya telah disela­puti dengan kegelapan dan kesesatan. Mereka jahil terhadap hakikat Islam itu sendiri. Kejahilan itu membawa mereka yakin terhadap ideologi-ideologi seperti demokrasi , kapitalisme barat, yakin komunisme dan sosialime Timur, meskipun mereka mengaku percaya kepada Allah Taala.

Kejahilan  menyebabkan ada yang menyatukan Islam dengan ideologi-ideologi lain seperti melaungkan demokrasi Islam dan sosialis Islam  dengan harapan supaya diterima oleh masyarakat. Sebenarnya penamaan tersebut bererti menzalimi Islam, sedangkan Islam bersih daripada penamaan-penamaan tersebut. Islam adalah Islam. Tidak ada sistem tiruan dan cedokan daripada mana-mana sistem lain. Ia tidak boleh sama sekali disamakan dengan mana-mana sistem kerana ia ditanzilkan oleh Allah Taala. 


Mesti Kembali Kepada Sumber-Sumber Islam Yang Sahih

Prof. Dr. Yusuf Qaradhawi telah menekankan dalam kitabnya, al-Hill al-Islami Faridhah Wa Dharurah, bahawa kita mesti kembali kepada sumber Islam yang suci lagi bersih iaitu Kitab Allah dan Sunnah RasulNya. Kita mesti kembali kepada fahaman Islam yang sebenarnya sepertimana yang ditanzilkan oleh Allah Taala, kepada Rasulullah s.a.w serta yang difahami oleh para sahabat r.a serta pengikut-pengikut mereka. 



Dalam hal ini Mujahid Fathi Yakan juga telah menjelaskan dalam kitabnya, Musykilah ad-Da'wah Wa ad-Da'iyah, bahawa kita perlu menimba kefahaman dari al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w serta Sirah an-Nabawiyyah. Juga amat perlu kita merujuk kepada kitab-kitab yang  muktabar semoga kita jelas mengenai konsep yang sebenar mengenai Din al-Islam. Ini meliputi hukum-hakam, peru­ndangan, aqidah, ibadah dan haluan hidup  individu, masyarakat dan negara.


Tumpuan yang berat mestilah diberi kepada al-Quran al-Karim yang disifatkan sebagai cahaya hati dan sistem hidup kita. Penerimaan ayat-ayat al-Quran hendaklah disifatkan seperti kita sedang menerima wahyu (perintah Allah Taala). Dengan itu, barulah kita merasai bahawa al-Quran itu menghalakan  perintahnya kepada kita dalam semua hal. Barulah Al-Quran akan berkesan kepada jiwa dan menghasilkan natijah.


Kembali Kepada Generasi Awal

Kita perlu melihat kembali kepada generasi awal Islam yang telah dijelaskan di dalam kitab-kitab muktabar seperti Ma'alim Fi at-Tariq ( Sayyid Qutb ) dan Maza Khasira ad-'Alam Bi Inhitat  al-Muslimin ( Abu al-Hasan Ali al-Husni an-Nadawi ) di mana generasi tersebut  dikenali sebagai Generasi al-Quran yang hanya mengambil sistem yang ditanzilkan oleh Allah Taala sahaja.

Mereka tidak mencipta sistem hidup menurut kehendak nafsu mereka sendiri. Mereka faham adalah punca kezaliman, kesesatan dan kejahilan adalah akibat kehidupan tanpa hidayah dari Allah Taala. Mereka tidak secara meraba-raba memilih jalan hidup, sistem politik dan corak sosial. Mereka telah menerima wahyu dari Allah Taala bagi menerangi serta memandu jalan hidup mereka.  

Generasi tersebut sebenarnya telah menjalani latihan dan tar­biyyah yang lama di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w berpandukan wahyu Allah swt sebagai sumber pembentukan hingga lahir peri­badi-peribadi muslim yang berjiwa tauhid, tidak terpengaruh atau dipengaruhi oleh nilai tamak keduniaan. Mereka hanya bermatlamat­kan keredhaan Allah swt semata-mata. Kehidupan jahiliyyah sudah tidak bernilai lagi bagi mereka. Mereka hanya menyerah kepada panggilan Iman di bawah arahan Rasulullah s.a.w padahal mereka sedar bahawa mereka akan menghadapi ancaman daripada masyarakat jahiliyyah di sekeliling mereka. Mereka  faham bahawa orang-orang mukmin pasti diuji keimanan mereka. 


"Apakah menusia itu menyangka bahawa mereka itu akan dibiarkan mereka berkata, "Kami telah beriman" sedangkan mereka tidak lagi diuji?" (Surah al-Ankabut:2)

Generasi pertama Islam itu telah pun berjaya menghapuskan al-Ghurbah al-Awwal. Kita generasi sekarang wajiblah pula bekerja untuk menghapuskan al-Ghurbah ath-Thaniyah. Hal ini pernah dite­gaskan oleh Prof. Muhammad Qutb dalam suatu ceramahnya yang bertajuk Falana'rif Haqiqah Islamina.


Umat Perlu Dibangunkan Mengikut Kehendak Allah

Rasulullah s.a.w telah diutuskan dengan membawa kembali nilai yang betul (Islam) kepada manusia dan kehidupan melalui jalan Iman kepada Allah Taala. Melalui Imanlah kita akan dapat menilai alam, manusia dan kehidupan ini dengan betul. Perlu diyakini bahawa mana-mana umat yang tidak diproses mengikut saluran yang Allah Taala kehendaki  tentulah tidak dapat mela­hirkan natijah hidup Islam.


Waallahua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan