Ilahi anta maqsudi wa ridhaka mathlubi. A’tini mahabbataka wa maqhrifataka. (Tuhanku, Engkaulah yang aku maksudkan dan keredhaaMulah yang aku cari. Berikanlah aku kasih sayangMu dan makrifah kepadaMu).
Setiap kali jari-jemari menaip atau menulis suatu artikel untuk dikirim dalam laman saya, ingin sekali ditulis satu artikel yang mampu mengetuk minda, membangkitkan hati-hati yang terlena, terleka dengan kelapangan dan larut dalam angan-angan.
Namun diri terasa terlalu kerdil dibanding dengan mereka yang menulis dengan tujuan hanya kerana Allah semata-mata. Apabila mereka ini menggoreskan qalam, seolah-olah tertumpah rangkaian kata-kata hikmah yang menjelaskan banyak perkara, mengungkap banyak sebab, menjelaskan hukum-hukum dan mendedahkan banyak hakikat.
Mereka itulah pendokong kebenaran yang setia dalam perjuangan menegakkan yang makruf dan memerangi yang mungkar seolah-olah menginfakkan diri mereka sendiri untuk tujuan tersebut. Mereka ini merupakan golongan yang lebih suka berbuat daripada sekadar berkata-kata atau menulis kerana sedar tugas mereka bukanlah seperti kebanyakan pemidato atau pengarang, tetapi menuntut kepada pengorbanan yang jauh lebih besar.
Merekalah kunci-kunci pembuka kebaikan atau pemilik kunci-kuncinya seperti yang disabdakan Nabi s.a.w dalam mafhum hadis Anas bin Malik r.a, “Sesungguhnya antara manusia ada yang menjadi kunci2 pembuka kebaikan dan penutup keburukan. Dan antara manusia ada pula yang menjadi kunci2 pembuka keburukan dan penutup kebaikan. Maka beruntunglah orang yang Allah jadikan kunci2 kebaikan di tangannya dan celakalah bagi orang-orang yang Allah jadikan kunci2 keburukan di tangannya”. (HR. Ibnu Majah)
Banyaknya Kunci Keburukan, Sedikit Sekali Kunci Kebaikan?
Pada hari ini, ramai yang membincangkan keadaan masyarakat yang umumnya semakin tenat dengan penderitaan penyakit-penyakit yang bukan sedikit. Sesungguhnya tugas merawat masyarakat bukan sahaja terletak di atas bahu mereka yang bergelar ulama, syeikh, tok guru, ustaz atau seumpamanya tetapi adalah tanggungjawab kita bersama. Keadaan masyarakat tidak akan pulih sekiranya sedikit sekali agen pembaikan sementara banyaknya agen perosak. Apa lagi sekiranya yang sedikit ini gagal bersatu dan mengelakkan perselisihan yang membunuh semangat persaudaraan.
Kalaulah suatu ketika dahulu, berita-berita keruntuhan moral seperti pelacuran, rogol, pembuangan bayi, bunuh, ragut dan segala macam lagi malapetaka jarang sekali didengar (sekiranya ada tidaklah begitu meluas) tetapi pada hari ini penulis berasa kita seolah-olah sudah lali bahkan ada yang mendengar dengan bersahaja tanpa ada sebarang perasaan! Jika benarlah begitu, malapetakala yang lebih berbahaya telah wujud tanpa disedari iaitu berlaku kemungkaran secara terang-terangan namun ramai yang bersikap acuh tidak acuh dengan apa yang terjadi.
Jadilah Kunci kebaikan Itu
Tepuk dada tanyalah iman. Apakah kita selesa dengan apa yang berlaku atau kita sebenarnya berasa rimas tetapi enggan berbuat apa-apa. Kalau perasaan yang lahir adalah benci melihat kemungkaran maka perlu disusuli tindakan sesuai dengan kemampuan kita.
Jika kita menjadi ibu bapa maka marilah kita mendidik anak-anak dengan didikan yang betul supaya anak-anak kelak tahu apa yang baik dan apa yang buruk, jika kita menjadi pemimpin maka marilah kita menunjukkan teladan yang baik supaya dicontohi orang yang dipimpin, jika kita menjadi teman kepada seseorang maka marilah kita menasihatinya berbuat kebaikan dan mencegahnya berbuat sebaliknya dan tidak kiralah siapapun kita, masing-masing ada peranan yang akan diminta pertanggungjawaban kelak sesuai dengan mafhum hadis riwayat Bukhari dan seumpamanya, “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya.”
Usaha yang sedikit akan membuahkan hasil berganda jika dilakukan beramai-beramai sama seperti bergotong-royong. Tugas yang nampak berat boleh diringankan jika saling berganding bahu memikulnya. Lakukanlah kebaikan biarpun sekecil mana kerana boleh jadi kebaikan itu mampu menjadi asbab untuk ke syurga Allah Taala. Nabi s.a.w bersabda, “Aku melihat seseorang yang bersenang-senang di dalam syurga hanya kerana dia pernah memotong dahan yang berada di tengah jalan yang mengganggu kaum muslimin lalu-lalang.” (HR. Muslim)
Hakikatnya, terdapat pelbagai cara dan banyak sekali jalan untuk menjadi kunci kebaikan. Ada kisah teladan yang diceritakan dalam kitab Siyar A’lam an-Nubula berkenaan Imam Malik yang menerima surat daripada seorang ahli Ibadah bernama Abdullah al-‘Umari. Abdullah mencadangkan Imam Malik beruzlah (mengasingkan diri untuk melaksanakan ibadah). Maka, Imam Malik membalas surat tersebut dengan menyatakan, “Sesungguhnya Allah membahagi amalan2 sebagaimana membahagi rezeki. Banyak orang yang dibukakan baginya pintu shalat, tetapi tidak dibukakan baginya pintu puasa. Begitu pula yang lainnya, dibukakan pintu sedekah tidak dibukakan pintu puasa. Dan yang lainnya lagi, dibukakan pintu jihad. Menyebarkan ilmu termasuk diantara amalan-amalan yang sangat afdhal. Saya telah redha dengan apa yang telah Allah bukakan untuk saya. Saya menganggap apa yang saya lakukan sekarang tidaklah lebih rendah dari apa yang kamu amalkan. Saya berharap kita berdua berada dalam kebaikan dan ketakwaan.”
Ibnu Qayyim turut menyatakan dalam kitab Hadi Arwah, “Kunci semua kebaikan adalah keinginan bertemu dan mendapatkan akhirat (syurga). Kunci semua keburukan adalah cinta dunia dan panjangnya angan2. Mengetahui perkara ini adalah sesuatu yang sangat utama dan termasuklah ilmu yang paling bermanfaat antara ilmu2 yang lain”. Ibnu Taimiyyah turut menyatakan dalam kitab al-Istiqamah, “Kejujuran adalah kunci segala kebaikan sebagaimana berbohong adalah kunci segala keburukan” dan dalam kitab Majmu Fatawa, “Doa adalah kunci segala kebaikan”.
Saya berharap setiap daripada kita akan menjadi miftahul khair (kunci kebaikan). Adapun persiapan ke arah itu adalah sesuatu yang mesti dilaksanakan mengikut kemampuan masing2 seperti mencari ilmu2 yang bermanfaat, mengamalkan akhlak yang baik, menguatkan tekad dan sebagainya. Berkenaan perkara ini, Abu A’la Al-Maududi memberi nasihat, “Kamu mesti menggunakan tenaga untuk sampai kepada tujuan yang mulia itu dengan bersenjatakan akhlak yang baik, nilai yang luhur, budi pekerti yang baik, nasihat yang bagus dan kebijaksanaan yang tinggi”. (Tanggungjawab Pemuda Islam Hari Ini, m/s 18)
Ya Allah, jadilah kami tergolong dalam orang-orang yang melakukan kebaikan dan sentiasa mengajak orang lain melaksanakan kebaikan. Dan jauhkanlah kami daripada tergolong dalam orang-orang yang melakukan kejahatan dan mengajak orang lain melaksanakan kejahatan. Amin.
Wallahua’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan