![]() |
| Kepayahan yang dirasa perlu disertai kesabaran sebagai penawarnya. |
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah.” (al-Balad: 4)
Kepayahan ini terlihat dalam segala urusan. Makanan yang disuap ke mulut tidak diperoleh kecuali dengan kelelahan. Seteguk minuman juga demikian, bahkan pakaian dan tempat tinggal. Lebih daripada semua itu, penyakit-penyakit yang menimpa manusia, musuh-musuh dan teman-teman mendatangkan masalah baginya. Gangguan pun boleh datang daripada anak-anak dan keluarganya sendiri.
Saya suka membawa kisah tentang bantahan nabi Adam a.s terhadap dakwaan nabi Musa a.s. Kisah ini diriwayatkan dalam hadis Bukhari daripada Abu Hurairah dalam kitab Ahadisil Anbiya’, bab Musa wafat, 6/440, no. 3407. Hadis ini turut diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab Qadar, bab debat antara Adam dan Musa, 4/2042, no. 2652.
Kisah ini hanya boleh diketahui melalui wahyu kerana ia berbicara tentang pertemuan yang tidak disaksikan oleh manusia. Pertemuan antara Adam dengan Musa. Pertemuan ini berlaku atas permintaan Musa. Kita tidak tahu bagaimana peristiwa ini dapat berlaku, akan tetapi kita yakin bahwa ia terjadi karena berita daripada Rasulullah s.a.w pastilah benar.
Pertemuan seperti ini pernah terjadi kepada Rasulullah s.a.w ketika baginda bertemu dengan para nabi dan rasul di malam Isra' dan baginda solat berjemaah dengan mereka sebagai imam di masjid Al-Aqsa. Pada saat Mi’raj ke langit baginda juga sempat berbincang dengan sebahagian daripada mereka.
Tujuan Musa dalam pertemuan itu adalah untuk berbincang secara berdepan dengan Adam dan mempersoal Adam yang telah mengeluarkan diri dan anak cucunya dari syurga lantaran dosa yang dilakukannya. Akan tetapi pada saat itu Adam mengemukakan alasan yang membuat Musa terdiam. Rasulullah s.a.w mengakui bahawa Adam telah menangkis dakwaan Musa.
Nabi Musa a.s telah merasakan kepayahan dan kelelahan hidup di dunia akibat kejahatan Fir'aun dan bala tenteranya. Baginda melarikan diri dari Mesir ke Madyan setelah membunuh seorang lelaki Qibti dengan tidak sengaja. Di Madyan, baginda menggembala kambing selama 18 tahun. Setelah Allah Taala mengangkatnya menjadi rasul, baginda menghadapi Fir'aun. Baginda juga menghadapi kedegilan dan kekerasan Bani Israil.
Mungkin pada suatu waktu terdetik dalam fikiran Musa bahawa penyebab kepayahan itu adalah Adam yang telah mengeluarkan diri dan anak cucunya dari syurga. Pada masa lepas, Allah Taala telah meminta Adam agar tinggal di Syurga setelah menciptakannya. Allah Taala mengizinkan buah-buahnya dan sungai-sungainya kecuali satu pohon dan menjamin Adam tidak akan lapar dan telanjang, dia juga tidak akan haus dan tidak terkena sengatan matahari.
Apabila Adam ingkar akan perintah Allah Taala dengan memakan buah pohon terlarang, maka Allah Taala menurunkannya dari rumah kesenangan ke rumah kelelahan, manakala manusia tidak mungkin hidup kecuali dengan perjuangan yang berat.
Pertemuan Nabi Adam a.s dengan Nabi Musa a.s
Oleh sebab itu, ketika Musa bertemu dengan Adam, Musa mempersoalkan perbuatan Adam. Dalam perbincangan tersebut, Musa mengingatkan Adam akan kemuliaan yang diberikan oleh Allah kepadanya. Allah menciptakannya dengan tanganNya, sementara makhluk yang lain diciptakan dengan kata "Kun". Allah meniupkan ruhNya padanya, menyuruh para malaikat bersujud kepadanya, mengizinkannya tinggal di syurga. Setelah diberi kemuliaan itu, maka tidak sepatutnya Adam menderhakaiNya.
Adam merespon dakwaan Musa dengan bijaksana. Adam membantah ucapan Musa. Adam mempersoalkan Musa, bagaimana sikap menyalahkan ini boleh datang daripada orang
seperti Musa. Adam menyebutkan keutamaan Musa yang diberikan Allah kepadanya.
Adam berkata kepada Musa,
“Kamu adalah Musa yang telah diangkat oleh Allah dengan risalah dan kalamNya. Dia memberimu Lauh yang berisi penjelasan tentang segala sesuatu. Dia mendekatkanmu kepadaNya ketika kamu bermunajat. Berapa lamakah kamu mengetahui Allah menulis Taurat sebelum aku diciptakan?”
Musa menjawab, “Empat puluh tahun.”
Adam bertanya, “Apakah kamu mengetahui di dalamnya ada ayat, 'Dan Adam derhaka kepada Tuhannya, maka dia sesat.”
Musa menjawab, “Ya.”
Adam berkata, “Apakah kamu menyalahkanku kerana satu perbuatan yang aku lakukan yang telahpun ditakdirkan oleh Allah empat puluh tahun sebelum aku diciptakan?”
Rasulullah s.a.w telah menyatakan bahawa hujah Adam a.s mengatasi hujah Musa a.s. Mungkin ada yang bertanya, "Bagaimana boleh begitu? "
Jawapannya adalah bahawa Musa menyalahkan Adam kerana Adam telah mengeluarkan diri dan anak cucunya dari syurga. Maka Adam menjawabnya, “Aku tidak mengeluarkan kalian dari syurga, akan tetapi Allah jualah yang menjadikan keluarnya diriku kerana aku memakan buah pohon itu.”
Maka, terkeluarnya Adam bukan sesuatu yang lazim jika ia tidak diizinkan Allah Taala kerana mungkin saja Allah mengampuninya tanpa mengeluarkannya dari syurga dan mungkin juga Allah menghukum Adam dengan hukuman lain, bukan dengan mengeluarkannya dari syurga, akan tetapi hikmahNya menuntut mengeluarkan Adam dari syurga karena kebaikan yang banyak dan besar yang hanya diketahui olehNya.
Waallahua’lam.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan