Sabtu, Februari 12, 2011

Kualiti Yang Mendahului Kuantiti

Kualiti perlu diutamakan ~
Kisah Nabi Yusya’ a.s

Para panglima berusaha mengumpulkan bala tentera sebanyak yang mereka mampu untuk menghadapi musuh. Mereka mengira bahawa sebab kemenangan di medan perang adalah kuantiti. Lain halnya dengan nabiyullah Yusya' a.s. Allah Taala membuka tanah suci melalui tangannya setelah nabi Musa a.s wafat.

Yusya' tidak begitu mementingkan jumlah besar dalam menghadapi musuh. Dia lebih mementingkan kualiti pasukan perangnya. Oleh sebab itu, dia begitu teliti memilih demi memastikan pasukannya tidak dianggotai mereka yang hatinya tertambat oleh urusan dunia.


Imam Bukhari meriwayatkan kisah ini dalam kitab Fardhul Khumus, bab sabda nabi s.a.w, “Dihalalkan harta rampasan perang untuk kamu.”, 6/220, no. 3124 manakala Imam Muslim pula meriwayatkan dalam kitabul Jihad Was Siyar, bab penghalalan harta rampasan perang, 3/1366, no. 1747.

Nabi itu adalah Yusya' bin Nun, salah seorang nabi bani Israil. Dia telah menjadi teman Musa ketika  hidupnya. Dia menemani Musa dalam perjalanan mencari Khidhir. Allah memberinya wahyu setelah Musa wafat dan Musa mengangkatnya sebagai pemimpin bani Israil. 

Nabiyullah Yusya' berusaha supaya pasukannya menjadi pasukan yang kuat dan mantap. Oleh itu, dia mengeluarkan tentera-tentera yang fikiran dan hati mereka dibelenggu oleh urusan dunia. Yusya' mengeluarkan tiga kelompok tentera yang tidak diizinkan untuk turut serta berperang.

Kelompok pertama adalah orang yang telah berkahwin tetapi belum menyentuh isterinya. Kelompok kedua adalah orang yang sedang membina rumah dan belum menyiapkannya. Kelompok ketiga adalah orang yang mempunyai unta atau domba bunting dan menunggu waktu beranaknya.

Yusya' mengeluarkan orang-orang seperti itu daripada pasukannya iaitu mereka yang tubuhnya berada di medan perang tetapi fikirannya bersama isteri yang belum disentuhnya atau rumah yang belum disiapkannya atau ternakan yang ditunggu waktu beranaknya.

Apa yang dilakukan oleh Yusya' ini mirip dengan apa yang dilakukan oleh Thalut ketika melarang pasukannya untuk minum dari sungai kecuali orang yang menceduk air dengan tangannya. Saat itu sedikit daripada mereka yang minum. Thalut telah membersihkan pasukannya daripada unsur-unsur melemahkan yang menjadi titik kekalahan.

Allah telah mewahyukan kepada Rasulullah s.a.w bahawa berundurnya orang-orang munafik dalam perang Uhud membawa  kebaikan kepada orang-orang mukmin. “Jika (mereka berangkat bersama-samamu) nescaya mereka tidak akan menambah (kekuatan)mu, malah hanya akan membuat kekacauan”
(at-Taubah: 47)

Yusya' bersama tentera-tenteranya berangkat menuju ke kota yang hendak mereka bebaskan. Dia tiba di kota itu pada waktu Asar pada hari yang sama. Ini bererti masa untuk membuka kota itu tidaklah banyak kerana berperang pada malam hari tidaklah mudah dan boleh jadi hari itu adalah hari Jum'at. Dia harus menghentikan perang sebelum matahari terbenam kerana berperang pada hari Sabtu hukumnya haram ke atas Bani Israil. Maka dia harus berundur dari kota itu sebelum berjaya membebaskannya dan ini bererti memberi peluang kepada pihak lawan untuk memperkuat semula pasukan, memperbaiki benteng-benteng dan menambah kekuatan senjata mereka.

Yusya' menghadap ke arah matahari dan berkata, “Kamu diperintahkan dan aku juga diperintahkan.”

Kemudian Yusya' berdoa kepada Allah, “Ya Allah, tahanlah ia untuk kami.”

Allah mengabulkan permintaannya dan menunda terbenamnya matahari sehingga kemenangannya diraih. Iman Yusya' begitu kukuh. Dia yakin kudrat Allah di atas segala sesuatu. Dia mampu memanjangkan siang sehingga kemenangan mampu diraih sebelum terbenamnya matahari. Urusan seperti ini tidaklah sukar bagi Allah dan kita mengetahui pada hari ini bahawa siang dan malam terjadi kerana berputarnya bumi pada paksinya.

Hakikatnya ilmu yang sebenarnya berada di sisi Allah. Maka, tidak menghairankan apabila bumi berputar lambat dengan kudrat Allah sehinggalah kemenangan berjaya diraih. Allah tidak menghalalkan harta rampasan perang bagi umat manapun sebelum kita. Harta rampasan perang dikumpulkan, lalu api turun dari langit dan membakarnya sehingga tidak seorang pun dari pasukan yang menggelapkannya. Jika harta rampasan perang ada yang digelapkan, maka api menolak untuk membakar. Ini bererti Allah tidak redha kepada mereka.

Apabila harta rampasan perang selesai dikumpulkan, api pun turun tetapi tidak membakar apa pun.

Maka Yusya' berkata, “Ada antara kamu yang mencuri harta rampasan perang.”

Untuk membongkarnya Yusya' menyuruh setiap kabilah mengutuskan seorang untuk membaiatnya. Dengan itu, tangannya akan melekat pada tangan orang yang berasal daripada kabilah yang mencuri harta rampasan perang. Yusya' membaiat anggota kabilah itu satu persatu.

Tangannya melekat dengan tangan dua atau tiga orang, lalu Yusya' berkata, “Baki harta ada pada kamu.”

Akhirnya mereka mengeluarkan sebongkah emas besar dalam bentuk kepala sapi dan diletakkan dalam harta rampasan yang lain. Api turun dan membakar semuanya. Syariat tersebut telah diangkat daripada umat sekarang. Harta rampasan perang telah dihalalkan bagi kita sebagai rahmat dan kurniaNya serta dihalalkannya harta rampasan perang merupakan salah satu kekhususan atas umat ini. 


Maha Suci Allah yang mengetahui kelemahan dan ketidakmampuan kita, maka Dia telah menghalalkannya untuk kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan