Khamis, Disember 09, 2010

Kepada Mereka yang Bergelar Pemuda



Saya masih ingat ketika mempelajari satu puisi di bangku sekolah dulu yang bertajuk Syair Tenaga Pemuda, karya Gustam Negara/ nama sebenarnya Harun Aminurrashid. 


Puisi ini mungkin dipelajari dengan perasaan bersahaja atau sambil lewa oleh kebanyakan pelajar, termasuklah saya sendiri ketika itu. Namun, puisi ini membicarakan sesuatu yang sangat bernilai dan mengandungi isi yang sangat penting untuk difahami.
Sejarah telah membuktikan para pemuda merupakan agen kebangkitan umat manusia pada umumnya. Lihatlah pada sejarah kebangkitan mana-mana bangsa mahupun negara, maka kita akan dapati pemuda adalah golongan yang mewarnai perjalanan sejarah masing-masing terutamanya pada era kemerdekaan. 
Sebagai contoh, revolusi Perancis yang telah menumbangkan kekuasaan monarki, perjuangan pro demokrasi di RRC dan Burma serta medan Tiananmen di Beijing menjadi saksi keterlibatan para pemuda. Mantan presiden Indonesia, Soekarno yang menyedari hakikat ini pernah menyatakan, “Berikan saya 10 orang pemuda, saya akan menggegarkan dunia.”
Pemuda Islam
Al Quranul Karim telah lama membicarakan peranan pemuda seperti dalam kisah Ashabul Kahfi (al Kahfi ayat 9-22), kisah Ibrahim a.s (al Anbiya’ ayat 60 dan al Baqarah ayat 258) dan kisah Ashabul Ukhdud seperti dinyatakan dalam hadis panjang riwayat Muslim, Ahmad dan an- Nasa’i berkenaan tafsir surah al Buruj.
Sirah nabawiyyah juga turut menyaksikan para sahabat memainkan peranan penting dalam memperjuangkan Islam terutamanya assabiqunal awwalun (orang-orang yang terawal beriman kepada Rasulullah s.a.w) yang pada umumnya masih muda. Saya ingin menyenaraikan beberapa nama para sahabat  ketika itu walaupun terdapat sedikit khilaf tentang umur sebenar mereka. Antaranya,
Ali bin Abi Thalib dan Zubair bin Awwam yang masing-masing berumur 8 tahun
Thalhah bin Ubaidillah (11)
al Arqam bin Abil Arqam (12)
Abdullah bin Mas’ud (14)
Sa’ad bin Abi Waqash (17)
Umar bin Khatthab (26)
Ja’far bin Abi Thalib (18)
Zaid bin Haritshah (20)
Mushab bin Umair (24)
Abu Bakar Ash Shiddiq (37)
Hamzah bin Abdul Muthalib (42)
dan sebagainya. Semua ini menjadi bukti bahawa para pemuda adalah sumber kekuatan kepada dakwah Islam dulu mahupun sekarang.
Sememangnya tidak dapat dinafikan secara psokologinya, manusia mencapai puncak hamasah (semangat) dan quwwatul jasad (kekuatan fizikal) pada usia muda. 


Berkenaan perkara ini, Imam Asy Syahid Hasan Al Banna pernah menyatakan, “Sesungguhnya sebuah pemikiran itu akan berhasil diwujudkan dengan kuat keyakinan kepadanya, ikhlas dalam berjuang dalamnya, semakin bersemangat dalam merealisasikannya, dan siap untuk beramal dan berkorban dalam mewujudkannya. Keempat-empat rukun ini yakni:
(1) Keimanan
(2) keikhlasan
(3) semangat dan
(4) amal merupakan ciri-ciri yang terdapat pada diri pemuda
kerana sesungguhnya dasar keimanan itu adalah hati yang peka, dasar keikhlasan adalah hati yang jernih, dasar semangat adalah perasaan yang menggelora, dan dasar amal adalah tekad yang kuat. Itu semua tidak terdapat kecuali pada diri pemuda. Oleh sebab itu, sejak dahulu hingga sekarang, pemuda merupakan agen kebangkitan setiap umat, rahsia kekuatan pada setiap kebangkitan, dan pembawa bendera setiap fikrah. (Prof. Dr. Abdul Hamid Al Ghazali dalam buku Tiang2 Kebangkitan Umat, m/s 57).
Ibnu Jauzi turut menyatakan nasihatnya kepada para pemuda dalam kitabnya, Shifatush Shofwah, “Wahai para pemuda, kerahkanlah potensi dirimu selagi masih muda kerana aku belum pernah melihat karya yang paling berharga selain yang dilakukan oleh generasi muda”.
Semoga kita dapat memuhasabah diri dengan mafhum hadis riwayat Tirmizi dan seumpamanya berkenaan setiap kaki anak Adam tidak akan berganjak pada hari kiamat sebelum ditanya 4 perkara, salah satunya adalah ke mana masa mudanya dihabiskan? Hadis ini memberi peringatan bahawa masa muda kita akan ditanya kerana masa inilah lazimnya seseorang mempunyai keupayaan pada tenaga, masa atau harta untuk digunakan kepada kebaikan mahupun keburukan.
Artikel ini tidaklah bermaksud menafikan kepentingan atau peranan selain para pemuda tetapi bertujuan menyuntik semangat dan menjadi perangsang kepada  mereka yang bergelar pemuda termasuklah saya sendiri.
Waallahua’lam.

1 ulasan:

  1. subhanallah, di kalangan kita terdiri daripada golongan pemuda, namun semangatnya telah disalahtuju, ke arah sampah-sampah dunia yang membebankan malah membodohkan fikiran. perlunya seruan ke arah menyelamatkan diri daripada belenggu fitnah akhir zaman, agar dapat melahirkan generasi pemuda harapan agama.

    sungguh muda para sahabat rasululllah. bandingkan dengan kita, yang sudahpun mencecah usia abad ke 20, namun tiada pencapaian untuk agama yang mampu untuk kita banggakan.

    teruskan lagi dengan penulisan yang berkualiti daripada saudara, sedikit sebanyak dengan izin Allah telah berjaya mengetuk beberapa pintu hati, inshaAllah.

    BalasPadam